1 post tagged “23”
Pagi ini cuaca cerah.
Bunga-bunga yang bermekaran di merata-rata; merah, putih, kuning, ungu; semuanya membisikkan kata selamat pagi dunia.
Pagi ini aku bangun dan menghirup udara segar sempena ulangtahun ke-23 aku menjejakkan kaki di dunia ini.
Lantas aku terfikir, andainya aku seekor rama-rama, tidak mungkin aku akan dapat menghirup udara sebanyak ini. Tetapi andainya aku seekor kekura, barangkali aku mampu menghirup udara lebih banyak berbanding manusia normal.
Inilah fitrah. Inilah lumrah.
Rama-rama itu cantik, tetapi kekalnya sementara.
Kekura? Mungkin tidak begitu menarik. Tetapi hayatnya jauh lebih panjang.
Kita sering terlupa akan kewujudan hikmah di sebalik setiap kejadian. Kadang-kadang kita terus menilai sesuatu dari cahaya yang menembusi optik kepala kita. Walhal bukannya kita tidak tahu, masih ada otak dan minda yang bergeliga, masih ada hati dan perasaan yang bergelumang, masih ada sistem saraf yang berurutan panjang bertukar ransangan; semuanya itu terlindung di sebalik pandangan zahir manusia.
Itulah dia kelemahan dan kekurangan manusia. Lantaran itu kekurangan ini dimanipulasi oleh manusia sendiri demi kepentingan peribadi. Dan ramai pula yang terpedaya. Ramai juga yang terjebak. Ada yang tersungkur jatuh. Ada yang berlutut hiba. Ada yang tertangis teresak pilu.
Namun aku masih beterima kasih kepada Tuhan.