now my feet won't touch the ground
Growing up, atau proses membesar, banyak mengajar aku aspek positif mahupun negatif dalam kehidupan.
Dalam tempoh itu, terlalu banyak perkara yang mendewasakan aku, lebih-lebih lagi dari segi mental dan pemikiran. Lebih ketara lagi apabila perkara-perkara yang bermain di minda aku adalah perkara yang selalunya jarang atau tidak pernah terlintas di fikiran orang lain (ya, aku pandai membaca minda kamu semua).
Contoh paling unik sekali, dan paling onar pernah bermain di fikiran aku ialah, bagaimana rasanya menjadi seorang yang tiada pegangan agama, ataupun bagaimana jika aku tidak menganut agama yang aku anuti sekarang. Aku sering tertanya, "how would I perceive God's existence from their side?".
Aku tahu pemikiran sebegitu pastinya dianggap merbahaya atau boleh mengancam keutuhan iman seseorang. Tetapi jika diambil iktibar dari kisah Nabi Ibrahim a.s., telah dikisahkan baginda meyakini kewujudan tuhan yang satu hanya melalui pemerhatian dan pemikiran yang mendalam terhadap alam, walaupun tanpa utusan khas yang dihantar oleh tuhan menerusi malaikat. Oleh itu aku percaya di zaman serba moden dan canggih ini, tidak mustahil untuk aku meyakini kekuasaan tuhan dengan berdasarkan sumber dan fakta kukuh dari Quran, sunnah, dan fenomena kejadian alam.
Baiklah, abaikan contoh di atas. Back to the main story. Apa yang aku ingin katakan sebenarnya ialah dalam proses membesar dan mendalami ilmu kehidupan, aku telah mengumpul banyak pengalaman dan kesah hidup yang tidak ternilai. Dan aku tersangatlah ingin untuk meluahkan semua itu dalam bentuk penulisan dan kata-kata. Cuma satu saja perkara yang menghalang aku daripada berjaya melakukan itu semua --- aku kekurangan vokabulari/kosa kata yang dapat melengkapkan kesah itu semua.
Oleh itu aku berhasrat untuk mengumpul sebanyak boleh kosa kata yang aku mampu mulai dari sekarang, dan kelak, pada satu titik dalam hidup aku, aku akan mula menggarap sepatah demi sepatah kesah perjalanan hidup yang aku lalui.
Aku cuma berharap aku mampu memiliki cukup masa untuk melakukan itu semua.